Filem berdurasi 105 minit
ini tidak rugi jika ditonton. Jujur saya berpuas hati dengan filem ini tetapi
apa yang lebih ingin saya sampaikan
ialah nilai yang saya ambil daripada filem ini.
Filem yang berdasarkan
kisah benar, dimana seorang anak kepada pengurus muzik, Sam yang mempunyai
karier sebagai ….(saya pun tak ingat dan tak berapa pasti tetapi lebih kurang
ada kaitan dengan perniagaan juga). Dia telah mendapat berita tentang kematian
ayahnya iaitu Jerry Happer.
Dia tidak terkejut malahan
tidak berniat untuk melawat ayahnya buat kali terakhir. Oleh sebab teman
wanitanya mahu terbang bersama ke Los Angeles, Sam terpaksa jua menurut
kehendak teman wanitanya yang ingin melawat mendiang Jerry Happer.
Sam sememangnya tidak rapat
dengan ayahnya dan kerana itu dia selalu melarikan diri. Lihat sahaja bagaimana
enggannya dia melihat ayahnya walaupun orang tua itu sudah tiada. Masih juga
dia mahu melarikan diri.
Sam langsung tidak bersedih
bahkan cuba untuk mendapatkan haknya yang mungkin ditinggalkan oleh Jerry
Happer.
Suatu hari, peguam ayahnya
menghubungi Sam dan mengajaknya berjumpa, Sam pergi dengan penuh harapan bahawa
dia akan mendapat sedikit habuan memandangkan hidupnya dibelenggu hutang.
Amat memeranjatkan! Peguam
itu hanya menyerahkan sebuah beg alatan cukur kepadanya. Sam kecewa namun dia
kembali tersenyum setelah melihat wang yang sarat di dalam beg itu.
Kegembiraan Sam tidak lama.
Dia kembali kecewa kerana membaca surat yang terdapat di dalam beg itu.
“ Tolong bagi duit ini
kepada Josh Davis.”
Bersama surat itu
disertakan alamat.
Sam berkira-kira juga untuk
menyerahkan duit itu kepada Josh Davis. Dia fikir mungkin dia patut ambil
sahaja dan berlakon seperti tiada apa berlaku. Namun akhirnya, dia tetap
mencari alamat tersebut dan Josh Davis hanyalah seorang budak lelaki yang
berusia 11 tahun.
Suatu peristiwa berlaku
yang mana telah membongkarkan bahawa Josh Davis ialah anak saudaranya. Ibu
Josh, Frankie ialah adik kepada Sam. Ini sangat memeranjatkan kerana Sam tahu
dia ialah anak tunggal kepada Jerry Happer dan ibunya. Dia tidak pernah tahu
ayahnya mempunyai keluarga lain.
Sam cuba mendekati Frankie.
Akhirnya mereka berkawan baik. Frankie langsung tidak mengesyaki bahawa Sam itu
abangnya sehinggakan dia hampir menganggap yang Sam itu cinta padanya. Sam
tidak mahu Frankie salah sangka niatnya menghampiri Frankie.
Akhirnya Sam mengaku bahawa
dia ialah anak lelaki Jerry Happer dan pastinya Frankie tidak dapat menerima.
Frankie mengamuk apabila mendengar kenyataan bahawa lelaki yang baru
dicintainya ialah abang kandungnya sendiri.
Frankie, terakhir kali
berjumpa Jerry Happer ketika berusia 15 tahun. Dia membeli gaun murah dan
cantik semata-mata untuk berjumpa ayahnya. Dia sanggup mencari ayahnya
sendirian. Menunggu selama sejam di pejabat ayahnya dan apabila ayahnya
kembali, dia tidak menghiraukan Frankie pun.
Jerry Happer ketika itu,
minum dan menyanyi bersama kawan-kawannnya. Jerry kemudiannya menghantar pulang
Frankie dan meninggalkan 50 dolar untuknya. Frankie sedih dan tertanya-tanya,
‘Apa kena dengan saya ini?’ Sedangkan tidak pula dia tertanya-tanya, ‘ Apa kena
dengan ayah ni?’
Mereka tidak pernah lagi
bertemu sejak itu sehingga ayahnya mati. Ayahnya telah memilih keluarga satu
lagi.
Filem ini berakhir dengan
babak Sam menunjukkan sebuah video kepada Frankie. Video itu jelas menunjukkan
yang Sam dan Frankie bermain bersama di sebuah taman permainan tanpa mengetahui
mereka ialah adik-beradik. Setelah menonton video itu, barulah Frankie dapat
menerima semua hakikat ini.
FIlem ini agak sedih dan
tak dapat dinafikan yang mengalir juga air mata berharga saya ini terutama
sekali apabila babak video itu dimainkan. Kedua-dua mereka masih kanak-kanak
ketika itu.
Mereka pernah bertemu,
bermain bersama, minum air watercooler bersama dan hanya itulah kenangan
manis yang mereka ada bersama Jerry Happer. Jerry selalu membawa Frankie berkelah
dan akan membawa Sam ke taman setiap hujung minngu. Rupa-rupanya ada sesuatu
yang Jerry aturkan. Jerry aturkan pertemuan untuk mereka.
Frankie memang tidak mahu
tahu akan keluarga satu lagi. Dia amat membenci mereka. Mereka telah mendapat
Jerry sedang dia hidup tanpa kasih ayah dan ibunya hidup kontang tanpa kasih
sayang seorang suami.
Saya membayangkan kalau
mereka hidup mengikut syariat Islam. Syariat yang mana sesuai dengan semua
fitrah hidup manusia. Pasti tidak ada yang kecewa atau sekurang-kurangnya
tidaklah hidup langsung tanpa kasih sayang ayah.
Cerita yang tidak islamik
ini hanyalah tinggal cerita bagi mereka yang tidak mengambil pengajaran. Namun
akan menjadi ibrah yang sangat berharga bagi mereka yang mengutip serpihan
hikmah di dalamnya.
![]() |
| Hakikatnya, kita sekeluarga. |
Satu cerita, seribu hikmah.

No comments:
Post a Comment