Khutbah terakhir Rasulullah (9hb Zulhijjah 10H) di
Lembah Uranah Gunung Arafah.
“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak
kukatakan. Aku tidak mengetahui adakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua
selepas ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah
ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir.
Wahai manusia,sepertimana kamu menganggap bulan ini
dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim
sebagai suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya
yang berhak.
Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain
tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan
kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.
Allah telah mengharamkan riba. Oleh itu segala
urusan yang berkaitan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan
agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara
besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam
perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke
atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka
menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi
makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah
terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang
setia.
Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali
tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan
dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah sungguh-sungguh kata-kataku
ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat 5 kali sehari, berpuasalah di bulan
Ramadhan, dan tunaikan zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji
sekiranya kamu mampu.
Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara
muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia
dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu
hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan.
Oleh itu awasilah, agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan
kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi nabi atau rasul yang
akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia,
nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada
kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kamu dua perkara yang
sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak
akan sesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku,
menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami
kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku.
Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku
sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambaMu.
![]() | |||
| Awan yang kelihatan sewaktu penulis menjalani orientasi di Pusat Asasi UIAM | 2011/2012. |

No comments:
Post a Comment