Friday, 2 August 2013

Khutbah Terakhir Rasulullah s.a.w



Khutbah terakhir Rasulullah (9hb Zulhijjah 10H) di Lembah Uranah Gunung Arafah.



“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui adakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir.



Wahai manusia,sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.



Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.



Allah telah mengharamkan riba. Oleh itu segala urusan yang berkaitan riba dibatalkan mulai sekarang.



Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.



Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.



Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.



Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.



Wahai manusia, dengarlah sungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat 5 kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikan zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu.



Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.



Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah, agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.



Wahai manusia, tidak ada lagi nabi atau rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu.



Sesungguhnya aku tinggalkan kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.



Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku.



Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambaMu.


Awan yang kelihatan sewaktu penulis menjalani orientasi di Pusat Asasi UIAM
 2011/2012.

Thursday, 1 August 2013

Apakah abtar?
















 Orang arab jahiliah menggelar seseorang 
 yang mereka tidak suka sebagai 'abtar.'

Abtar bermaksud orang yang tidak akan dikenang setelah kematiannya. Orang yang tidak akan diingati dan tidak menjadi sebutan manusia lagi apabila dia telah meninggal dunia.

Pernahkah anda mendengar nama Al-Aas ibn Waail ? Saya pasti anda tidak pernah mendengarnya bukan? Namun dialah manusia yang telah menggelarkan Nabi Muhammad s.a.w sebagai abtar akibat kebencian yang teramat mendalam terhadap baginda.

Kini, tiada yang menyebut namanya sebaliknya nama Nabi Muhammad s.a.w disebut-sebut dari utara ke selatan, dari timur ke barat, dan dari negeri arab sampai ke negeri barat. Kita juga tidak terlepas daripada beriman dengan agama yang diwahyukan kepada Nabi kita ini.

Subhanallah, benarlah Muhammad itu Rasul akhir zaman yang tidak akan luput ingatan penduduk bumi ini terhadap baginda.

1. Sungguh, Kami telah memberimu (Muhammad) nikmat yang banyak.
2. Maka laksanakanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah).
3. Sungguh, orang-orang yang membencimu dialah yang terputus (dari rahmat Allah).

(Surah Al-Kausar:108)

Sunday, 28 July 2013

Tribut untuk dia


Dialah kawan sejak aku mula menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Sebilik. Yang telah menyambut daku dengan penuh keriangan. Umpama kita telah lama bertemu.

Tingkatan 1, 2, 3, kita sebilik. Kelas 2 Muslim dan 3 Muslim telah menyaksikan segala jerih payah kita menuntut ilmu. Kau, aku,Nadia Sabri, Bibah, Salwa. Kita semua memang sekepala sungguh tika itu.

Hah, sungguhlah aku tahu banyak tentang kau. Pernah suatu masa sewaktu Tingkatan 2, waktu itu musim peperiksaan, aku seolah-olah menjauhi kau. Bibah pun perasan. Aku, sebenarnya baru sahaja membaca tentang adab-adab berkaitan  peperiksaan. Antaranya ialah ‘banyakkan berzikir dalam perjalanan menuju ke dewan peperiksaan.”

Sebab itu, aku hanya mendiamkan diri dalam perjalanan kita ke kelas. Aku minta maaf ya kawan. Bibah, harap kau tak salah sangka dengan aku. Aku hanya nak kurangkan bercakap sepanjang musim peperiksaan.

Kau pun banyak tahu tentang aku. Aku nampak ego apabila berhadapan dengan kau. Hakikatnya, aku sangat senang berkawan denganmu. Aku sudah semestinya sayang padamu kawan. Rindu. Serius.

Mesti kau tertanya-tanya bukan? Kenapa aku tiba-tiba mengarang karya khas untuk kau. Aku belek-belek semula buku biodata yang aku suruh semua orang tulis itu, aku terlihat biodata kau. Kau tulis begini:-

                 2006
Syahirah <       > Syahida

Lama kita menyulam ukhwah. Sejak tahun 2006. Mana mungkin aku boleh lupa kau kawan. Aku cuma  harap yang aku kau tak lupakan.

Aku mohon maaf atas segala sikap aku yang kau tak senang dengannya. Semoga terus maju wahai sahabatku yang seorang ini. Jangan sedih-sedih, kalau sedih, telefon aku.


Jangan menangis bertenanglah
Peganglah tanganku dan digenggam erat
Ku melindungi dari apa yang datang
Berhentilah menangis

Tubuhmu kecil bertenaga
Dalam dakapanku kau tenang dan lena
Pertalian kita takkan terputus
Berhentilah menangis

Kau dihatiku
Kau dihatiku
Hari ini dan selamanya

Kau di hatiku
Walau apa katanya
Oh… kau di hatiku
Selamanya

Mengertilah apa yang kami rasa
Tak berkeyakinan apa yang dikatanya
Kami berbeza tapi di hati kami
Tiada apa yang berbeza

Jangan kau dengar mereka tak tahu
Saling memerlu dan membantu
Di suatu masa kutahu

Destinasi tiba kau harus tabah
Ku akan bersamamu bersabarlah
Di suatu masa kutahu
Buktikan bersama kau

Selamanya

Bersamamu

Ku selalu bersamamu

Selama-lamanya

Pandanglah ke bahumu

Di sisimu selamanya

Dia ialah Nur Syahirah Mohd Mujid



Thursday, 6 June 2013

KIL - THE REVIEW



Akil, seorang yang kurang bercakap, tiada kawan, tak friendly langsung. Akibat musibah yang menimpa, dia membuat keputusan untuk membunuh diri. Baginya hidup penuh hambar dan tiada makna untuk diteruskan lagi.

Akil terjumpa satu flyer di sebuah dinding ketika sedang melepak. Flyer itu berbunyi seperti ingin membantu orang yang ingin membunuh diri. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, dia pun menyambar peluang ini.

‘LAB’- sebuah badan yang ‘membantu’ dan ‘memudahkan’ cara bagi sesiapa yang tidak mahu hidup lagi seperti Akil. Akil mendaftar untuk mendapat khidmat itu dan kata konsultan itu, bila-bila masa nyawanya akan melayang.

Semuanya mesti dirahsiakan. Segala proses akan menjadi sangat rahsia. No turning back. Penonton pasti berdebar menonton filem ini kerana seolah-olah mengira hari-hari terakhir kematian Akil.

Akil jadi paranoid. Sesiapa sahaja manusia yang dilihatnya akan menyebabkan dia lemah kerana takut itulah orang yang akan membunuhnya. Sehinggalah dia mula perasan ada seorang perempuan yang sangat comel selalu menaiki tren bersamanya.

Mereka akhirnya jadi kawan. Akil isytihar, Zara itulah sahaja kawannya. Dan sejak itu, dia mula suka pada Zara dan mula berubah fikiran.

Pelbagai peristiwa yang mungkin manis berlaku dalam hari-hari terakhirnya itu dan antaranya ialah dia mendapat bonus dari bosnya. Dia mula nampak hidup ini bagaimana.

Saksikan bagaimana akhirnya kehidupan seorang yang bernama Akil lakonan Redza Minhat. Watak Zara oleh Cristina Suzanne.

Filem yang lebih mendebarkan dari filem hantu.

“Takkanlah tak ada sesiapa langsung. At least ada sorang dalam hidup seorang manusia.” -Zara.

Zara berpendapat orang yang bunuh diri ialah selfish. Bos Akil memberi galakan kepadanya untuk lebih bersosial dengan rakan-rakan sekerja.

Ya, ada ramai yang masih memberi harapan kepada Akil. Cuma dia yang buta dan sengaja tak mahu buka mata. Filem ini saya kira dah cukup bagus dah dari segi jalan ceritanya, audio dan videonya tetapi ada kurang. Tiada sesiapa yang ingatkan Akil bahawa bunuh diri itu haram dan berdosa besar.

Okey itu jelah. Yang lain-lain semua boleh tengok sendiri.

Have a nice day!
Ella jadi jiran Akil dalam cerita ini.



Thursday, 7 March 2013

NOVELIS TAK SIAP



Riuh rendah kelas itu sambil menunggu pensyarah datang. Semua berbual antara satu sama lain. Widad dah Siti Fatimah juga turut mengambil kesempatan ini.

“ Weh, dah tengok blog aku?” Widad memulakan perbualan.
“ Sejak bila kau ada blog?” Soal Siti Fatimah sambil meletakkan tangannya di bahu.
“ Eh of courselah. Nanti buka ya.”
“ Yalah. Best sangat ke blog kau tu?”
“ Hmm…nak kata macam mana ya. Adalah juga cerpen,pendapat aku…
Lepas tu ada banyak lagilah. Cubalah buka, baru tahu.”
“ Okey nanti aku buka. Kalau tak best kau belanja aku ais-krim.”
Widad membesarkan mata. Tak tertahan dengan sikap Siti Fatimah yang selalu sahaja mengugutnya supaya belanja.
“ Aku okey saja.” Widad menjawab penuh bersahaja.
“ Bro datang, bro datang.”

“ Widad, bila nak siapkan cerpen kau tu?” Natirah menegur Widad dalam perjalanan pulang dari kelas.
“ Alah, aku busy sikit semenjak dua menjak ni. Dah buat sikit dalam laptop but still tak siap lagi.”
“ Cepat sikit buat. Tak sabar nak baca sambungannya.”
“ Okey, insya-Allah aku akan siapkan secepat mungkin.Next week hari Jumaat insya-Allah aku publishkan.”
“ Okey aku tunggu tau.”
Widad hanya tersenyum mendengar ayat terakhir dari Natirah itu. Sebenarnya dia juga belum pasti sama ada cerpen itu dapat disiarkan dalam blognya pada minggu hadapan atau tidak.
“ Widad, ada pertandingan tulis cerpen sempena Raudhah Festival ni tahu.”
“ Tahu…”
“ Masuklah.”
“ Saya ni bukan apa. Kalau saya buat sesuatu tu, selalu sahaja tak settle. Itu yang saya malas tu.”
“ Widad, pernah dengar tak ayat ni? Sesungguhnya Allah menyukai orang yang melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan tekun.”
Widad terdiam. Hanya mengangguk. Siapa yang tidak pernah mendengar ayat itu.
إن الله يحب من عمل عملا أن يتقنه.
Sejak sekolah lagi dia pernah dengar ayat itu.
“ Kak Inas percaya Widad ada bakat menulis tetapi malas.”
“ Malas? Saya tak ada masa nak menulislah kak Inas.” Berang juga dia dituduh sebegitu sekali oleh kakak naqibahnya.
“ Yalah tu tak ada masa. Tahu tak, orang yang sangat sibuk sekalipun tak pernah bagi alasan macam tu. Tak ada masa? Tak relevan langsung alasan tu.”
Diam. Tiada respon. Bengang namun mengiyakan sahaja kata-kata kak Inas itu. Memang betul pun dia begitu. Malas. Suka buat kerja separuh jalan.

Widad Safra binti Khalid. Pelajar jurusan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam tahun kedua di Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya. Mempunyai minat yang mendalam dalam bidang penulisan namun mempunyai tabiat kurang baik iaitu kuat tidur dan malas.

Lamunan terhenti apabila Widad sampai betul-betul di hadapan biliknya.
Widad masuk dan terus duduk di meja studinya. Termenung seketika. Teringat kembali kata-kata kak Inas itu.
“ Hmm aku ada bakat?”
“ Betulkah?”
“ Kenapa rasa malas sangat ni?”
“ Arghhh! Aku boleh tapi aku selalu cemarkan bakat aku dengan sifat kemalasan ni!”
Komputer riba dihidupkan. Fail dokumen dibuka. Termenung sejenak. Widad bangun dari kerusinya dan mengambil roti pandan dalam bekas makanannya. Kembali ke meja studi sambil menggigit roti itu sebanyak mungkin.
Masih mencari. Aku Budak Tak Bersalah. Itulah cerpen tidak siap yang menjadi tanda tanya di kalangan kawan-kawannya. Bila cerpen ini akan siap sepenuhnya? Apakah yang cuba disampaikan dalam watak Arif sebagai watak utama dalam cerpen ini.
Widad memicit dahi. Tertekan. Dahinya berkerut. Tiada langsung idea yang keluar dari mindanya untuk menyambung cerita ini. Roti digigit lagi. Widad mencapai telefon bimbitnya yang berjenama Sony Ericsson. Mendail nombor seseorang.

Tut tut …tut tut.. tut tut…
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Ya Widad. Ada apa?”
“Kak Inas sihat?”
“Alhamdulillah. Macam nilah dari dulu. Steady and always will be.”
Kedua-dua mereka tertawa kecil.
“Kak Inas…”
“Ya saya. Kenapa ni? Macam ada masalah sahaja.”
“Dah buka blog saya?”
“Hah! Tak beritahu pun ada blog. Macam mana nak buka.”
“Yakah? Saya belum beritahu?”
“Belum.”
“Hmm tak apalah. Okey. Ilal liqa’.”
“Eh nanti dulu. Ada something ni nak beritahu. Bukan pasal blog sahaja kan? Baik cakap.”
“Tak ada apa-apalah. Okey. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Kalau dah ready nak cakap, just call me okay?”
“Okey.”
Hajatnya ingin mendapat kata-kata semangat dari kak Inas tetapi sayangnya tidak sesuai dengan keadaan. Mereka hanya berbual biasa. Hubungannya dengan kak Inas sangat rapat ibarat isi dengan kuku. Sangat rapat. Usrah telah menemukan mereka. Kak Inas memang seorang naqibah yang sangat bertanggungjawab.

Misi Widad belum selesai. Dia perlukan dorongan dan sokongan dari seseorang untuk dia menyudahkan cerpen Aku Budak Tak Bersalah ini. Jari jemari sudah bersedia untuk menaip. Kosong. Masih kosong. Belum mampu menaip apa-apa.
Dahi berkerut lagi.
Mata dikecilkan.
“ Arghhh! Buat serabut saja fikir semua ni! Bukan penting pun!”
Widad bangkit dari kerusi dan menolaknya sekuat hati. Katil dipanjatnya dan terus sahaja merebahkan badan. Mata dipejam dan akhirnya dia tertidur.

(Mimpi)
“Ya Allah, tidur budak seorang ni. Kata nak jadi penulis berjayalah, penulis hebatlah.
Kata nak buat novellah, best sellerlah apalah. Ini tidur pula.”
Kak Inas membuat kunjungan mengejut ke bilik Widad. Kebetulan dia sedang tidur dan selalunya memang begitu. Semasa kak Inas datang itulah dia sedang tidur.
Terkejut dengan suara kak Inas, Widad lantas bangun dan menyapu mukanya.
“Saya penat sangat kak Inas. Hari ini kelas saya padat sangat dari pagi sampai petang. Ada apa datang ni?”
“Ya, penat tapi janganlah tidur lepas Asar. Kan tak baik. Kak Inas nak buat usrah petang ni. Tajuk baru. Orang telefon banyak kali kot. Tak angkat-angkat. Cuba tengok handphone.”
Widad terjaga dari tidurnya. Meraba-raba cuba mencari telefon bimbitnya.
10 missed calls. Ya, sama seperti dalam mimpi.
“Ya Allah kenapa kejadian hari tu boleh jadi mimpi pula. Allahu akbar. Astaghfirullah astaghfirullah.”
Panggilan tidak dijawab semuanya dari kak Inas. Pelik Widad kenapa pula kak Inas tiba-tiba mahu menghubunginya sedangkan selama ini dia sahaja yang sering menelefon kak Inas.
Menekan sesuatu pada telefon bimbitnya dan apabila selesai dia mencampakkan telefon bimbit itu ke atas bantal.

Mesej diterima.
‘Kak Inas’.
Widad, something not settle yet? Let me know please.
Widad mendengus. Kak Inas, kenapa pula sekarang dia cuba memujuk aku? Selama ini abaikan sahaja aku setelah masuk ke UIA Gombak untuk menyambung Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Kesusasteraan Bahasa Arab. Begitulah fikir Widad.
Mesej dibalas.
Nothing kak Inas, just ignore me as you did before. Tak perlu dah kot tanya macam-macam pasal saya. Insya-Allah saya okey  saja. Ilal liqa’.
Kak Inas mendapat reaksi yang sangat terkejut dengan jawapan itu. Hatinya tidak tenang. Ada sesuatu yang budak seorang ini sembunyikan daripadanya.

“Okey, hari ini kita nak masuk tajuk baru. Tajuknya ialah Dakwah Islamiyah dan Amar Makruf dan Nahi Munkar. ….
So dakwah ni kita kenalah lakukan dengan bijaksana. Bersesuaian dengan keadaan siapa mad’u kita. Bak kata orang dakwah dengan berhikmah. Hmm… ada soalan tak?”
“Memang ada. Saya nak tanya…Adakah kak Inas rasa dengan cara pergi ke bilik saya secara mengejut tadi adalah cara yang berhikmah untuk ajak pergi usrah? Adakah kak Inas rasa cara kak Inas berkata yang kononnya saya nak jadi penulis hebat sebagai berhikmah? Adakah kak Inas fikir saya yang nampak baik ni tak ada perasaan malu apabila ada orang yang datang mengejutkan kita tidur dan terus berkata macam-macam tentang  diri kita? Saya minta maaf tetapi saya sebenarnya kurang senang dengan sikap kak Inas tadi. By the way, saya memang nak jadi penulis hebat pun dan kalaupun saya dikatakan kuat tidur, itu tidak memberi kesan pun kepada saya.”
Kak Inas terdiam dan terkaku. Cuba dibangkangnya namun dia juga sedang memuhasabah diri balik. Mungkin benar kata Widad. Dengan kata-katanya tadi, mungkin menyebabkan hubungan mereka retak dan pecah berderai.
Dan perkara itu betul-betul terjadi. Hampir tiga bulan mereka tidak bertegur sapa dan akhirnya kak Inas meminta maaf dari Widad sebelum dia tamat belajar di Pusat Asasi UIAM ini.

Kak Inas menghubungi Aimi. Dari Aimi, kak Inas mendapat maklumat Widad. Mahallah, bilik, jadual kelas jadi senang untuk dia menziarah Widad.
Widad menjauhkan diri dari semua orang. Kali ini dia sengaja pergi ke blok E yang agak terpencil dari semua bangunan di Pusat Asasi UIA Petaling Jaya ini. Siap membawa kertas kajang dan pen aneka warna kegemarannya.
E116. Kelas yang dipilih Widad untuk dia beruzlah.

Aku Budak Tak Bersalah. Nampak macam mudah jalan ceritanya namun hakikatnya Widad sendiri buntu apakah kesudah yang paling sesuai untuk cerpen ini.
“Arif bertemu dengan Nurul Izzah dalam Creativo Design dan cemburu dengan gadis itu kerana Encik Eric selalu memberikan perhatian kepadanya. Sedangkan sebelum ini dia boleh dianggap sebagai pekerja kesayangan Encik Eric. Hmm…Best! Arif jealous dengan Nurul Izzah sebab perempuan itu menjadi saingannya dan lama-kelamaan perasaan jealous tu bertukar jadi cinta. Yes! I knew it! Alhamdulillah.”
Pantas mengambil sehelai kertas kajang dan menulis segala idea segarnya sambil bibir mengukir senyuman. Lega. Rangka kasarnya sudah siap. Tinggal lagi ingin ditaip di dalam komputer ribanya.

“Balik ni aku akan taip and then finish all of these things by this tonight and I will publish it. Beres!” Widad bermonolog separuh menjerit memandang cuma dia di dalam kelas itu.

“Aimi, jangan cakap kat Widad ya kak Inas nak datang. Nak buat surpriselah sikit.”
“Beres saja kak.”
“Ni Aimi, kak Inas nak tanya ni. Aimi ada perasan tak Widad macam pelik sikit semenjak dua menjak ni?”
“Hmm…tak ada pula. Selalu kalau jumpa Aimi okey saja. Tak ada yang pelik pun.”
“Okeylah, tak apalah kalau macam tu. Okey Aimi. Syukran.”
“Afwan.”
Perbualan melalui telefon itu terhenti. Kak Inas masih tertanya-tanya kenapa dengan Widad, seolah-olah berdingin dengan dirinya.

Okey semua yang dapat mesej ini boleh melayari widadbravo.blogspot.com untuk mengikuti kisah hidup Arif yang selanjutnya. Pasti mengujakan! Harap semua puas hati.
Widad menghantar mesej ini kepada ramai. Siti Fatimah, Aimi, Adawiyah, Jue, Sarah, Akma, Ruslina, Najah, Natirah, Fitrah, Basyirah dan ramai lagi. Kini Widad mampu menarik nafas lega kerana sudah meyiapkan cerpen yang amat ditunggu-tunggu kawan-kawannya. Terus sahaja dia mematikan komputer ribanya.
Mata tak tertahan lagi untuk dilelapkan dan tiba-tiba dunia menjadi gelap.

10 mesej diterima.
‘Najah Johor’.
Dad, okey lah tu penghabisan dia. Wallaweh.
‘Siti Fatimah(sifat)’.
Amboi ada juga bab-bab cinta. Ingatkan kau ni tak romantik. Kih3.
‘Natirah comel’.
Well done dad! Tapi awat ending dia lagu tu? J
‘Adawiyah’.
Tahniah. Nanti buat lagi siri 2. Yang dah kahwin punya. Hehehe.
‘Basyirah hebat’.
Sayang, pandainya kamu buat cerita. All the best. Teruskan usaha ya!
‘Ruslina’.
Best!
‘Jue ekonomi’.
Widad memang bravo!

‘Aimi~Love’.
Dad, kau kat mana?
‘Fitrah’
Aku yakin hang boleh pergi jauh. Ganbatte!

‘Kak Inas’
Widad, kak Inas rasa macam ada sesuatu yang belum selesai antara kita. Tolonglah maafkan kak Inas. Tentang dulu, sekarang dan mungkin bila-bila sajalah, tolong maafkan kak Inas. Rasa bersalah sangat ni. Nanti petang ni insya-Allah kak Inas datang PJ. Harap dapat borak panjang dengan Widad. Rindu awak.
Love~

Subuh itu Afiqah terjaga dahulu sebelum Widad. Sudah hampir pukul 6.30 pagi. Pelik juga Afiqah. Selalunya Widad akan bangun awal dan akan menggerakkannya.
“Widad, Widad, subuh dah. Bangun.” Afiqah mengejutkan Widad dalam keadaan mamai dan terus pergi ke bilik air untuk mengambil wudhuk.
Seusai solat itu, Widad belum juga bangun. Sudah berapa kali dikejut oleh Afiqah.
“Letih sangat agaknya budak ni.” Sangka Afiqah dalam hati.
Sekali lagi dia menggerakkan Widad. Kali ini lebih ganas.
“Hmm period kot.” Afiqah beranggapan begitu kerana Widad selalunya tidak akan bangun awal kalau sedang datang bulan.

“Ya Allah, tak sangka pula kali itu ialah subuh terakhir aku dengannya.” Afiqah menyapu air matanya. Terlalu sedih kerana kehilangan teman sebilik yang sangat baik.
Yang lain menggosok-gosok belakang Afiqah, cuba menenangkan sedangkan yang lain juga amat sedih dengan pemergiannya.
Kak Inas, tentu yang menjadi paling terkilan. Kehadirannya ke Pusat Asasi UIAM petang itu disambut dengan berita kematian Widad.
“Widad, apakah yang kau ingin sampaikan kepadaku?” air mata Kak Inas tumpah jua demi Widad.

“Kak Inas, cuba tengok ni.” Aimi menghulurkan telefon bimbit Widad kepada Kak Inas.
Semua mesej baru itu dibacanya. Semua mesej yang memuji karya terakhir Widad, Aku Budak Tak Bersalah. Kak Inas menangis tiada henti.
“Dik, kamu sebenarnya sudah menjadi penulis yang hebat.”

Widadbravo.blogspot.com secara tiba-tiba menjadi perhatian di seluruh Pusat Asasi UIAM.
“Wah, 2256 follower! Hebat kau Widad.” Afiqah membuka blog Widad buat pertama kalinya. Tiba-tiba dia teringat sesuatu yang Widad pernah katakan padanya. Diperhatinya setiap karya itu mendapat komen yang panjang berjela.
Afiqah, kau nak tahu tak. Sebenarnya penulis yang baik dan hebat itu tak terkenal pun tetapi karyanya akan jadi famous setelah dia mati.”

“Ya betul kata kau Widad. Kini baru karya kau mendapat perhatian dari ramai orang. Kaulah penulis yang hebat tu.” Afiqah tersenyum sendirian.























Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...