Monday, 3 March 2014

Jajahan Cinta Kita

Jajahan cinta kita
Telah menebar ke serata dunia
Telah menusuk ke dalam jiwa 
Jiwa mereka yang dahaga

Jajahan cinta kita
Indah selalu  bak mahligai syurga
Penghujungnya tak terbayang mata
Permulanya entah bila

Namun, 
Jajahan cinta kita ini
Ada terluka terpijak duri
Ada tersadung kakinya di besi
Ada tergelincir terus mati

Ah, aku juga reti rasa kecewa
Aku tak pandai mengejar mereka
Yang terluka itu aku
Yang tersadung itu juga aku
Tapi aku belum mahu tergelincir lalu mati

Setidaknya, gapai dahulu tanganku ini
Supaya aku tidak tertinggal lagi
Dalam jajahan cinta kita

4.02pm
2/3/2014


Thursday, 20 February 2014

Selasa dan Khamis Bersama Ustazah Nadhwah



Sudah lama aku menunggu saat ini. Bukan saat kelas QPT akan berakhir tetapi saat aku akan mengumpulkan segala mutiara kata yang aku kutip daripada Ustazah Nadhwah. Kepada rakan-rakan sekelasku, mari kita imbau sejenak saat pertama kali kita bertemu insan bernama Ustazah Nadhwah ini.

Aku secara jujurnya, tak mampu nak senyum langsung saat dia melontarkan berdas-das peluru pada hari pertama itu. Apa salah kita semua? Apa salah aku? Memang ada rasa nak cabut lari ketika itu tetapi aku berpegang kepada prinsip aku.
‘Guru dah tengok muka aku, jangan lagi aku berundur.’
Disebabkan aku yang memilih beliau sebagai guruku, maka aku redha. Teruskan.

Ingat lagi tak kelas itu memang ramai pada awalnya namun pada kelas kedua minggu hadapannya, susut. Ramai yang hilang. Daripada ada berapa kumpulan entah, tinggal empat sahaja. Pagi sebelum datang ke kelas itu, aku agak gentar. Yalah, entah kena tembak lagi macam hari itu. Namun tanggapanku meleset. Aku jadi positif. Bahkan senyum meleret sepanjang kelas. Aku yakin yang lain juga begitu (terutama Fikri kan?). Seusai sahaja kelas, aku jadi girang tak terkata. Seolah-olah nak beritahu semua orang yang aku jumpa hari itu,
‘Weh, Ustazah Nadhwah best gila!’

Kalaulah kalian ingat apa yang ustazah perkatakan pada hari kedua itu. Banyak, terlampau banyak. Tak pernah seumur hidup aku, paradigma aku berubah 360 darjah secepat hanya dua kelas. Ya Allah.
“Kamu patut berterima kasih kepada orang yang drop tu sebab kamu ada banyak peluang untuk dapat A.”

Kawan-kawan, setuju tak kalau aku kata, QPT ini satu madah yang agak susah. Atau mungkin juga hanya aku seorang yang rasa begitu. Tetapi secara jujurnya lagi, aku Alhamdulillah mudah faham dengan penerangan dan pengajaran daripada ustazah. Perbincangan dalam kumpulan kecil juga sangat membantu. Bahkan kadang-kadang kita munaqasyah satu kelas. Si Syukur, Aiman, Ghani, Taufiq dan lain-lain kadang kala memberi penjelasan berdasarkan apa yang mereka faham dan itu sangat memberi jasa.
Dan ustazah akan tanya lagi, tanya lagi orang lain seandainya jawapan seseorang yang ditanya tadi tak memuaskan sehinggalah muncul satu jawapan sohih dan memuaskan dan dapat difahami.

Kalau kalian perasan, ustazah tak pernah perlekeh kita. Kalau ustazah tanya dan kita lambat jawab, ustazah tunggu. Kalau ustazah tanya lagi dan kita jawab salah, ustazah tak marah. Tak kata kita ini bengap ke apa. Ustazah akan tanya orang lain pula. Sebenarnya ustazah hanya nak kita bersuara. Jangan terlalu diam. Bila ustazah tanya, maknanya ustazah nak dengar suara kita. Kena bersyukur itu. Sebab itu, jawab sahaja apa yang difahami daripada pembelajaran.

Kehadapan kawan-kawan sekelasku, sebenarnya kita amat beruntung apabila kita mendapat Ustazah Nadhwah sebagai guru kita. Tambah untung lagi,kelas kita waktu pagi. Apa yang aku lihat, Ustazah Nadhwah ini moodnya memang ajaib pada waktu pagi. Dan syukur Alhamdulillah (macam nama Fb seseorang), classmates aku semuanya periang dan berparticipant dalam kelas. Semuanya pandai pula tu, kecuali aku. Semuanya, pendek kata, pandai ‘bodek’ ustazah.

Kawan-kawan yang bijaksana sekalian, awal-awal kelas dahulu, ustazah selalu tanya “makan tak lagi?” dan jawapan kebanyakkannya ‘tak sempat’dan ‘belum’. Hampir setiap kali kelas ustazah akan tanya kita dah sarapan atau belum. Paling seronok apabila ustazah benarkan kita makan minum dalam kelas. Jangan nasi lemak sudah. Semua ini, bagi aku sangat memberi makna. Habislah lepas ni, setiap kali sarapan aku akan teringat muka, suara, dan gaya ustazah.

Serius, sebenarnya ustazah sedang didik kita supaya tak tinggal sarapan. Sarapan itu makanan otak. Betul katanya, macam mana nak serap ilmu kalau otak tak makan lagi. Sedangkan puasa ada sahurnya, inikan pula tak puasa. Mestilah ada sarapnya.

Terlalu banyak mutiara katanya yang ingin kutulis. Terlalu banyak memori kita sepanjang kelas itu. Selasa dan Khamis, walau terpaksa bangun pagi dan korban tidur waktu dhuha, namun Selasa dan Khamis itulah yang menceriakan aku. Kawan-kawan juga bukan?

Ustazah Nadhwah bukan setakat mengajar apa yang ada dalam silibus pelajaran, bahkan mengajar kita kehidupan. Kemahiran dalam hidup ini. Dia telah memberi kita tips mencari jodoh, tips menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar, nasihat apabila keputusan sumber air dan banyak lagi. Dan cerita pasal orang-orang gila di UIA ini, biarlah rahsia kot. Haaa!! Parenting skill pun belajar tahu.
“Dalaman mesti kuat. Kamu bakal menjadi parents.”
“Amalkan Qiamullail.”


Kononnya~

Tuesday, 5 November 2013

Berbaloikah?

Apalah erti semua ini? Charity Concert for Palestine? Sekadar nyanyian, deklamasi sajak, lakonan, lagu jihad, dan kibarkan bendera Palestin. Bertakbir, memakai t-shirt Palestin, kutipan derma. Itu sahaja rakyat Malaysia mampu lakukan?

Selalu aku dengar, 'Apa faedah semua ini untuk rakyat Palestin?'

'Adakah semua ini dapat menghambat Zionis itu keluar dari Palestin?'

Aku rasa Zionis itu hanya tertawa sinis dan mungkin mereka akan kata 'Kau buat lawak ke Malaysia?'

'Tak rasa terancam pun.'

#Aku, tentang semua kata-kata diatas! Aku bilang bahawa semua ini ada maknanya. Mustahil perkara ini sia-sia.

Kalian tahu, di konsert yang macam poyo inilah mengumpulkan umat Islam yang selama ini hilang, entah cakna atau tidak dengan saudara kita di Palestin itu. Setidaknya mereka yang langsung tidak tahu apa-apa menjadi tahu apa-apa.

Kamu tahu, di sini semua malu kalau tidak diinfaqkan duit dalam poket itu. Sekurang-kurangnya perhimpunan seperti ini dapat memberi sumbangan material kepada rakyat Palestin.

Tentang sampai atau tidak sumbangan itu kepada rakyat Palestin tak usah disibukkan.

Di konsert yang macam sengal dan tak bermanfaat kata sesetengah orang inilah, mungkin telah mencetuskan rasa ingin mendekati Allah sedekat-dekatnya.

*Charity Concert for Palestine @ CAC Hall
5 Nov 2013
Cuti Awal Muharam.


Palestine will be free.






Monday, 7 October 2013

Mengemis Kasih

Tuhan dulu pernah aku menagih simpati
Kepada manusia yang alpa jua buta
Lalu terheretlah aku dilorong gelisah
Luka hati yang berdarah kini jadi kian parah

Semalam sudah sampai ke penghujungnya
Kisah seribu duka ku harap sudah berlalu
Tak ingin lagi kuulangi kembali
Gerak dosa yang menghiris hati

Tuhan dosaku menggunung tinggi
Tapi rahmat-Mu melangit luas
Harga selautan syukurku
Hanyalah setitis nikmat-Mu di bumi

Tuhan walau taubat sering kumungkir
Namun pengampunan-Mu tak pernah bertepi
Bila selangkah kurapat pada-Mu
Seribu langkah Kau rapat padaku 

*Nyanyian oleh Raihan feat Far-East

 

*Begitulah manusia. Seringkali sibuk mencari kasih sayang manusia sedang kasih Allah terbentang luas di hadapan mata tidak dihiraukan. 

Manusia, memang sifatnya melakukan dosa. Namun sebaik-baik yang berdosa itu ialah yang bertaubat. Dan sebaik-baik yang bertaubat itu ialah orang muda.

Siapa kalian? Orang muda? Orang tua? Kalau masih muda, maka perbanyakkan ibadah kerana tubuhmu masih segar dan semangatmu tiada siapa boleh nafi.

Kalau sudah di usia senja, maka perbanyakkan juga ibadah kerana hari esok mungkin sudah tiada bagimu.

Berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat bagi orang-orang mu'min. Sekarang saya memberi nasihat. Suatu hari mungkin saya tergelincir di landasan iman maka ingatkanlah saya.

Wallahu a'lam...

 
Dimana Allah di hatimu?




Sunday, 29 September 2013

Aku merajuk dengan seisi dunia. Lalu aku mula perasan, bahawa Allah sering memujukku.

Allahlah sebaik-baik pemujuk. 


Friday, 20 September 2013

Bila Nur Melimpah di Hati

Bila nur melimpah di hati
Manusia itu bangun
Dari alam kegelapan
Ibarat mata yang berseri

Menatapi mentari pagi
Yang indah dan cerah menerangi
Kerana Iman dan juga Islam
Telah menjadi keyakinan

Bila Quran dan sunnah didaulatkan
Ketika itu jiwa dikorbankan
Harta kemewahan dilaburkan
Demi untuk agama kebenaran

Bila nur melimpah di hati
Manusia itu bangun
Dari alam kegelapan
Ibarat mata yang berseri


*Lagu ini saya juga kurang tahu kumpulan nasyid mana yang menyanyikannya dahulu.
Kalau tak silap saya, Diwani kemudian barulah Rabbani menyanyikannya semula.

Apa-apa pun lagu ini sangat mendayu didengari dan sangat menyentuh hati.

Apabila hidayah Allah datang menyapa, tiada apa lagi yang dapat menghalang seseorang untuk melihat kebenaran ini.

Islam itu bukan sekadar agama yang menjanjikan ketenangan spiritual bahkan satu jalan dalam hidup yang mengajar kita daripada A sampai Z. Bak kata orang putih, The Way of Life.

Sayangilah Islam yang sedang kita pegang sekarang. Pegang ia sekuatnya.




Wednesday, 18 September 2013

Ini bukan kerja sehari dua

Oh sungguh dakwah itu bukan kerja satu hari, bukan kerja dua hari, bukan kerja tiga hari.

Dakwah itu kerja yang sangat panjang. Tempoh yang sangat panjang hingga kadang-kala sang daie itu hampir putus asa.

Untuk mengenali hati dan karakter mad'u itu sangat memakan masa. Kadang hati sang daie terluka.

Mengapa kau masih tak mengerti ini jalannya? 

Mengapa kau lambat untuk memilih jalan ini?

Aku juga pernah berfikiran begini. Tak dapat dinafikan. Lantas mengapa? Mengapa pula dengan aku?

Seorang daie bukan tugasnya menentukan hidup mad'unya. Akan tetapi menjadi penunjuk arah. Dia mahu atau tidak, terpulang dia.

Kenapa harus bersedih? Oh mungkin sang daie itu fikir, ah tidak cukupkah sentuhan dakwah dan kasih sayangku?

Sedang dia lupa, bukan di tangannya menjadikan mad'u tadi seperti dia.

Oleh sebab dunia diseimbangkan maka mad'u boleh jadi apa sahaja dia mahu sementelah sang daie harus terus berdoa. Moga mad'unya memilih jalan yang benar.

Mungkin hanya setelah bertahun-tahun atau mungkin sesudah kepergian sang daie tadi, barulah mad'u itu merasai sentuhan halus dakwah dan kasih sayangnya.

Itulah kukatakan, dakwah itu kerja yang panjang. Sangat panjang. 

Sepanjang hayat sang daie.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...